Saturday, 30 March 2013



Siapakah John Locke (1632-1704)??
Biografi
John Locke mendapat pendidikan di University of Oxford, England dalam bidang falsafah, sains tabie dan perubatan. Beliau juga pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan. Ketika berumur 34 tahun, Locke telah bertemu dengan Lord Ashley yang kemudiannya Lord ini bergelar Earl of Shartesbury. Pada tahun berikutnya, Locke telah dilantik sebagai doktor peribadi kepada Earl of Shartesbury di samping menjadi sahabat dan setiausaha kepada Earl. Pada ketika itu, Earl merupakan individu yang berpengaruh di dalam kancah politik. Namun begitu Earl of Shatesbury dan Locke telah dibuang negeri ke Netherland akibat Earl yang menggunakan pengaruh raja dan istana di dalam politiknya. Kemudiannya, beliau kembali semula ke England pada tahun 1699.
            Ketika di dalam buangan tersebut Locke telah menerbitkan dua buah buku iaitu Two Treatises on Goverment dan Essays Corncerning Human Understanding. Kedua-dua tulisannya ini diterbitkan pada tahun 1690. Kedua-dua karyanya inilah yang telah mengangkat nama Locke dalam alam falsafah moden. Seterusnya, ketika masa tua Locke banyak dihabiskan dengan menumpukan hidup kepada agama. Beberapa tahun sebelum meninggal dunia Locke juga telah mempelajari agama di Epistles of St. Paul. Beliau meninggal dunia pada tahun 1704 ketika berusia 72 tahun.

 Epistemologi John Locke
Falsafah John Locke merangkumi ilmu pengetahuan iaitu mengenai sekitar persoalan epistemologi. Locke amat berminat membincangkan tentang asal usul ilmu pengetahuan dan kesahihannya. Namun begitu, Locke menolak pendapat yang diutarakan oleh golongan Rationalisme. Hal ini adalah kerana pemikir golongan Rationalisme mengemukakan konsep innate ideas yang amat ditentang oleh Locke. Innate ideas dapat ditafsirkan sebagai  sumber atau alat utama manusia untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Locke amat menentang konsep innate ideas ini adalah kerana Locke beranggapan adalah mustahil bagi suatu benda itu ada dan tiada pada waktu yang sama. Locke juga beranggapan kebenaran seperti itu bukanlah berbentuk innate kerana idea sedemikian bukan diberikan kepada seseorang ketika dilahirkan.
            Locke turut menegaskan bahawa untuk memastikan sesuatu fakta itu adalah tepat dan benar, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu mengkaji asal-usul idea tersebut. Hal ini juga boleh menentukan had pengetahuan kita. Menurut Locke lagi, hanya mental fakulti atau kuasa sahaja yang dianggap innate (semula jadi) dalam proses mendapatkan dan mencari ilmu pengetahuan, sedangkan ilmu pengetahuan yang aktual itu sendiri diperoleh melalui pancaindera dan pengalaman. Minda (mind) pula mendapatkan ilmu pengetahuan daripada kelima-lima pancaindera dan kemudiannya mencetak semua ilmu pengetahuan pada fikiran seolah-olah minda sebelumnya hanya merupakan tabula rasa (black tablet) atau umpama sekeping kertas yang tidak mempunyai apa-apa tulisan di atasnya dan tanpa sebarang idea. Oleh yang demikian, semua bahan yang digunakan untuk berhujah dan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan datangnya daripada pengalaman. Justeru itu, falsafah John Locke telah dipanggil sebagai Empericisme.
            Selain itu, Locke di dalam hujahnya juga menolak adanya innate idea. Hal ini adalah kerana Locke menyatakan bahawa sekiranya sesuatu prinsip atau sesuatu ilmu pengetahuan itu dicetak dalam fikiran sebelum ia diketahui melalui pengalaman, maka ia sesuatu yang sukar untuk menentukan kesemulajadian (innateness) ilmu pengetahuan tersebut. Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa bahawa kita mula menyedari kebenaran apabila kita mula menggunakan kerja-kerja akal (reason) sebelum ia mengetahui sesuatu. Tambahan lagi, oleh kerana sesuatu itu belum dialaminya maka ia bukan merupakan satu ilmu baginya sebab belum menjadi suatu pengalaman bagi dirinya. Undang-undang moral contohnya tidak boleh dilabelkan sebagai innate kerana undang-undang demikian tidak bersifat terbukti sendiri dan tidak juga bersifat penerimaan sejagat.
            Di samping itu, Locke juga turut menyatakan bahawa apa yang dianggap sebagai suatu dosa kepada seseorang itu mungkin juga perkara itu merupakan tanggungjawab bagi seseorang yang lain. Oleh itu, hal seperti itu bukanlah semula jadi kerana ia masih memerlukan pertimbangan akal bagi menentukan kebenarannya (validity). Locke turut menganggap apa yang dimaksudkan dengan innate idea itu hendaklah meliputi ilmu pengetahuan yang diperoleh atau dipunyai oleh kanak-kanak atau uncultured people serta uneducated people. Beliau turut menyatakan apa yang dikatakan oleh Decrates berhubung dengan the idea of God sebagai innate itu sebenarnya adalah tidak benar. Hal ini adalah kerana banyak lagi kaum-kaum yang sama kurang mempunyai idea of God tersebut ataupun kurangnya the knowledge of God. Tambahan lagi, menurut Locke sekalipun manusia itu mempunyai kefahaman ketuhanan dalam dirinya, tidaklah juga bererti bahawa idea tersebut merupakan idea yang innate. Locke turut berhujah dengan memberikan contoh kepanasan, api, matahari, dan bilangan juga tidak dianggap sebagai innate sungguhpun ia diterima sejagat (universally recognised) dan diketahui oleh semua orang tentang hakikat benda tersebut. Justeru itu, John Locke menganggap minda yang dimiliki seseorang itu adalah seperti tabula rasa atau a dark chamber, atau an empty cabinet, atau a white paper void of all characters without any ideas.
Masalahnya sekarang, bagaimanakah minda itu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan? Bilakah masanya minda itu menurunkan semua bahan yang ada  pada kerja-kerja akal (reason) dan ilmu pengetahuan itu? Dalam memberi jawapan kepada persoalan tersebut, John Locke hanya menyatakan pengalaman yang menjadi jawapan. Katanya “ semua ilmu pengetahuan kita diasaskan oleh pengalaman pancaindera dan secara mutlaknya bersumberkan pengalaman pancaindera”.
            Sehubungan dengan itu, Locke menyatakan bahawa minda itu mula dilengkapi dengan ilmu pengetahuan apabila bersumberkan pengalaman pancaindera. Locke turut membahagikan pengalaman pancaindera kepada dua jenis iaitu dalaman dan luaran. Hal ini membawa erti terdapat dua cara bagaimana pengalaman boleh diperoleh seseorang.  
Pertamanya melalui sensasi
Melalui sensasi ini minda seorang akan dilengkapi dengan nilai-nilai sensasi. Sensasi inilah yang akan menyediakan apa sahaja idea yang terpancar dari pengalaman luaran, iaitu dari objek luaran manusia.
Keduanya pengalaman diperoleh daripada refleksi atau pantulan atau juga pancaindera dalaman
Refleksi inilah yang akan membekalkan minda seseorang dengan idea-idea yang dihasilkan oleh kerja-kerja refleksi itu seperti berfikir, meragui, percaya, mengetahui, berkehendak dan sebagainya. Locke menyifatkan idea itu adalah apa-apa sahaja yang dapat difahami atau dapat diertikan oleh minda secara langsung ataupun sesuatu yang menjadi objek kepada persepsi, pemikiran atau kefahaman. Hal ini bermakna bahawa refleksi menyediakan idea yang menjadi sebahagian dari alam dalam tubuh badan.
            Locke juga menggambarkan cara bagaimana idea itu dapat diterima seseorang dengan menggambarkannya seperti sebuah papan hitam yang menerima coretan tulisan kapur yang dituliskan di atasnya. Pengalaman pancaindera memberi nilai-nilai sensasi kepada minda seperti kekuningan, panas, lembut, manis, dan sebagainya. Kemudiannya, minda akan membuat refleksi ke atas aktiviti-aktiviti dan keadaan-keadaan tersebut, menyediakan atau menerima pula idea-idea set kedua seperti dalam persepsi, berfikir, meragu, percaya, mengetahui dan berkehendak. Semua aktiviti refleksi dan idea itu hanya akan dibawa kepada operasi-operasi sensori dalaman setelah minda menerima pengalaman pancaindera. Hal ini bermaksud sebelum pengalaman pancaindera memaklumkan sesuatu kepada minda, maka kerja-kerja refleksi tidak dapat dilaksanakan oleh sensa dalaman.
            John Locke juga telah membezakan antara idea-idea mudah (simple) dan idea-idea sukar (complex). Menurut Locke, idea-idea sukar ini adalah intipati (abstraction) atau gabungan daripada beberapa idea mudah. Idea-idea yang diterima oleh seseorang itu merupakan idea-idea mudah. Hal ini disebabkan minda mempunyai kebolehan untuk mengulang, membandingkannya, menggabungkannya dengan apa sahaja maklumat supaya ia menjadi satu idea yang sukar. Idea-idea mudah yang datang kepada kita sama ada melalui pengalaman pancaindera ataupun melalui refleksi yang terdiri daripada empat jenis.
Refleksi pertama
Merupakan idea yang kita terima dari satu deria sahaja seperti idea-idea tentang warna, suara, rasa, dan bau.
Refleksi kedua
 Idea yang didapati melalui dua atau lebih deria yang digabungkan secara serentak seperti idea yang berhubung kait dengan ruang, pengembangan, bentuk, diam dan gerak.
Refleksi ketiga
Idea yang diperoleh dari refleksi semata-mata iaitu terdiri daripada idea yang dibentuk oleh kekuatan berfikir iaitu yang disebut sebagai kefahaman serta kuasa untuk berkehendak. Hal ini umpamanya mengingati, berkehendak, menilai, mengetahui dan mempercayai.
Refleksi keempat
Idea yang didapati melalui kedua-dua sekali iaitu sensasi dan refleksi seperti idea berhubung dengan kelazatan, kesakitan, kekuasaan, kewujudan dan kesatuan.
            Seperti yang diketahui, gabungan beberapa idea yang mudah akan membentuk idea yang sukar. Tuhan sebagai contoh merupakan sebuah idea yang sukar. Hal ini adalah kerana idea tentang tuhan merupakan gabungan beberapa idea mudah seperti kewujudan, masa, pengetahuan, kuasa dan lain-lain. Fikiran seseorang mempunyai kekuatan untuk mengetahui beberapa perkara dan kemudiannya menggabungkannya hingga menjadi tiada kesudahan (infinity). Oleh kerana Locke mendapatkan idea sukar atau abstrak daripada sensasi maka beliau telah digelar sebagai Norminalist dan kebanyakan ahli-ahli falsafah Inggeris adalah terpengaruh dengan pendapat beliau.
            John Locke turut membezakan idea-idea sama ada sukar atau mudah dengan hakikat yang objektif iaitu benda atau alam nyata yang dinamakan atau digelar oleh idea tersebut. Menurut apa  yang disebut sebagai idea tersebut sebenarnya berada di luar daripada kita. Benda sebenar tersebut mempunyai kualiti tertentu atau mempunyai kuasa tertentu. Kuasa atau nilai yang dimaksudkan itu meliputi dua jenis iaitu prima dan nilai yang sekunder. 
Kualiti prima
Menurut Locke merupakan kualiti yang dimiliki oleh objek itu sendiri dan ia tidak boleh dipisahkan atau tidak boleh diceraikan dari benda yang sebenar. Contoh-contoh yang terlingkup di dalam golongan kualiti prima ialah kepadatan, pengembangan, bentuk, gerak dan diam. Apabila kita mengatakan bahawa kita sedang mengalami atau merasai kualiti-kualiti primer, maka idea kita sebenarnya hanyalah merupakan salinan daripada kualiti itu sendiri, juga sebagai bentuk-bentuk mental atau gambaran kepada hakikat benda itu semata-mata seperti mana benda itu sendiri.
Kualiti sekunder
Menurut Locke ialah kualiti yang bukanlah sebahagian dari objek tersebut. Kita boleh sahaja menggantikannya serta-merta dengan kualiti sekunder yang lain pula tanpa melibatkan objek itu sendiri dari segi kewujudannya. Sebagai contoh, kualiti sekunder ialah warna, bunyi, bau dan rasa. Umpamanya seketul batu merah itu memang ada dan mengambil ruang tertentu untuk wujud, tetapi warna merah yang dilihat itu hanyalah kualiti sekunder sahaja kerana kemerahan warna itu hanya melalui deria penglihatan kita dan kualiti ini tidak menjadi sebahagian dari objek batu itu sendiri.
            Demikianlah beberapa teori John Locke yang mana teori-teori daripada beliau telah menjadi teras bagi teori-teori aliran Empericisme dan juga teori-teori pendidikan oleh tokoh-tokoh pendidikan kemudiannya

Rujukan :

Jostein Guarder. Dunia Sophie. 2006. Kuala Lumpur : Institut Terjemah Negara Malaysia Berhad

Mohammed Yusoff Hussain. Pengenalan kepada Falsafah Barat Moden. 2002. Shah Alam : Karisma Publication Sdn.Bhd

Kumara Ali Yuana. 100 Tokoh Filsuf Barat dari Abad 6 sm-Abad 21 yang Menginspirasi Dunia Bisnis. Togyakarta :Perpustakaan National Katalog dalam Terbitan (KDI)


4 comments:

  1. awak.. follow blog saya yer ~ hehe... sejuk la masuk blog awak...hahaha
    http://secrettelephaty.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. awak..nnt awak komen la kat chattbox saye ye..bg meriah sikit..

    ReplyDelete